Wednesday, March 20, 2019

Sedangkan burung berpagi-pagian,
terbang tinggi mencari rezeki;
alangkah rugi bermalas-malasan,
bangun bangkit hari dah tinggi.

Thursday, March 7, 2019

sehari-hari

Hari terbit Kurnia Ilahi,
sinar mentari terangi alam;
bangkit kita terus berbakti,
adatnya kita pewaris Adam.

Hari yang lelah kini melabuh,
disambut senja malam menanti;
itulah aturan nikmat seluruh,
Kuasa yang Esa tidak berganti.

Kelam malam kelawar terbang,
tetap terisi dahaga lapar;
yakinlah kita rezeki yang datang,
tetap cukup untuk yang sedar.

Terang bulan terang malam,
menyuluh bumi tunduk menyepi;
terang kalbu sujud yang dalam;
menyuluh hati insan yang erti.

Kokok jantan sedar berjaga,
setia menyeru jiwa yang erti;
sedar dan syukur limpah kurnia,
tenang meniti sehari-hari.

Tuesday, December 18, 2018

Hari ini hari berdarah

"Air dalam bertambah dalam,    
Hujan di hulu belumlah teduh; 
Hati dendam bertambah dendam, 
Dendam dahulu belumlah sembuh.

Apa guna padi bukit,          

Padi dibendang menabur bunga;
Apa guna hati sakit,          
Mati bertikam termasyhur lama.

Lemaknya nasi bergulai udang,  

Lemak berbau santan kelapa;
Rela kumati berputih tulang,  
Tidak kumahu berputih mata.

Orang menyeberang gunakan titi,

Titi dibuat tinggi di atas;   
Dalam telur lagikan dinanti, 
Inikan pula sudah menetas.

Jika terjumpa ular tedung,

Carilah buluh kayu pemukul;
Berani buat beranilah tanggung, 
Tangan menjinjing bahu memikul."

10 Rabiul Akhir 1440

Isnin malam Selasa
Jam 9.41 minit malam

Friday, November 30, 2018

begitulah

"Adat berbudi menolak balasan,
Adat berguru mengenang budi;
Adat berilmu disebar-sebarkan,
Adat beragama menyanjung Ilahi."

Wednesday, October 31, 2018

Di tiap denyut nadi

Gerimis pagi iringi subuh,
Bayu memeluk mentari megah,
Buah hatiku setia nan teguh,
Pengarang jantungku degupan indah.