Sunday, March 22, 2015

Pesan untuk Julie

Setelah sekian lama aku mengembara
menyelusuri di tiap lembah dan lautan
ku titipkan khabar beritaku
buat pengubat rindu luka lara
moga kau tenteram di mana jua hendaknya

Sepanjang perjalananku ini
segala onak dan duri
ku tempuhi jua
walau luka pedih darah mengalir
kaki ini kan tetap terus melangkah

Sepanjang perjalananku ini
pelbagai rencah dan ragam
telah aku saksikan
berbekal ilmu, iman, dan tawakkal
segala rintangan ku tempuhi jua

Sepanjang pengembaraanku ini
ada sesuatu yang masih tersirat
terjerat oleh tanya dan soal
yang telah aku dapatkan jawabnya
sebagai bekal buatmu di hari muka
dalam meredah arus kehidupan

Julie
ketahuilah bahawa dunia ini
tak serupa dek pandangan mata
tak sama dek rasa hati
tak semudah sangkaan jiwa

Ketahuilah
sehalus mana duri yang tertusuk
pedih dan peritnya tetap dirasa
itulah kesakitan mainan dunia
mencengkam menghilang segala rasa

Julie
dalam menuju Kampung Abadi
ketahuilah hanya bekal amalmu
yang akan kau bawa
tiada apa lagi yang berharga
selain dari Pelukan Kasih
yang Mencipta segala

Berdamailah kau
dengan segala yang mengelilingimu
tunaikanlah segala minta
sucikan hatimu di tiap tika
senantiasalah kau menabur bakti
gembeling usaha tidak meminta

dan ingatlah
di tiap hembus nafasmu
di tiap gerak dan tingkahmu
kan ada yang Memerhati

Julie
bertenanglah kau selalu
bermurah hatilah senantiasa hendaknya
janganlah kau cemari baik budimu
dengan gadaian tak bernilai
cukuplah padaNya kau berserah

Moga hidupmu dirahmati
hingga ke akhirnya.

Sunday, March 1, 2015

Jiwa bergetar ketakutan
di kala angin pagi terhenti bertiup
daun-daun pokok kaku tak berguguran
langit masih lagi tak menampakkan senyumnya

Sedang alam tertunduk kelu tak tersedar
di saat itulah
dalam ketar aku rebah
menghitung saki baki kehidupan
yang bergelumang dalam dosa dan noda
menyedari hakikat seorang hamba
yang nyata kerdil tak punya apa
hanya hamba hina mengotori alam suci

di saat itulah
aku mengharapkan ampunan Kasih
mendambakan sebuah penerimaan

Ketika jiwa tertunduk lemah
di saat itulah jiwa ini merintih
apakah Kasih menyebelahiku
atau kehinaan yang menanti