Setelah sekian lama aku mengembara
menyelusuri di tiap lembah dan lautan
ku titipkan khabar beritaku
buat pengubat rindu luka lara
moga kau tenteram di mana jua hendaknya
Sepanjang perjalananku ini
segala onak dan duri
ku tempuhi jua
walau luka pedih darah mengalir
kaki ini kan tetap terus melangkah
Sepanjang perjalananku ini
pelbagai rencah dan ragam
telah aku saksikan
berbekal ilmu, iman, dan tawakkal
segala rintangan ku tempuhi jua
Sepanjang pengembaraanku ini
ada sesuatu yang masih tersirat
terjerat oleh tanya dan soal
yang telah aku dapatkan jawabnya
sebagai bekal buatmu di hari muka
dalam meredah arus kehidupan
Julie
ketahuilah bahawa dunia ini
tak serupa dek pandangan mata
tak sama dek rasa hati
tak semudah sangkaan jiwa
Ketahuilah
sehalus mana duri yang tertusuk
pedih dan peritnya tetap dirasa
itulah kesakitan mainan dunia
mencengkam menghilang segala rasa
Julie
dalam menuju Kampung Abadi
ketahuilah hanya bekal amalmu
yang akan kau bawa
tiada apa lagi yang berharga
selain dari Pelukan Kasih
yang Mencipta segala
Berdamailah kau
dengan segala yang mengelilingimu
tunaikanlah segala minta
sucikan hatimu di tiap tika
senantiasalah kau menabur bakti
gembeling usaha tidak meminta
dan ingatlah
di tiap hembus nafasmu
di tiap gerak dan tingkahmu
kan ada yang Memerhati
Julie
bertenanglah kau selalu
bermurah hatilah senantiasa hendaknya
janganlah kau cemari baik budimu
dengan gadaian tak bernilai
cukuplah padaNya kau berserah
Moga hidupmu dirahmati
hingga ke akhirnya.